Thursday, 10 January 2013

Tuntut ilmu pelaburan terbaik


PENGORBANAN adalah amalan yang mulia. Sebagai ibu bapa pastilah kita sanggup berkorban apa saja bagi memastikan anak-anak berjaya di dunia dan akhirat.
Ibu bapa yang banyak menyemai pasti akan banyak menuai.Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita tidak boleh lari daripada falsafah menyemai dan memberi ini. 
Apabila anak-anak sedar pengorbanan ibu bapanya, pasti anak-anak akan menjaga kebajikan orang tua mereka ketika meniti usia tuai.

Kita sering mendengar pelbagai kisah kehidupan anak-anak mengabaikan orang tua mereka. Ada dibiarkan tinggal keseorangan, diletak di rumah orang tua atau ditinggalkan di tepi jalan.


Memanglah sedih melihat perkara ini berlaku dalam masyarakat kita. Namun, sebelum menuding jari menyalahkan anak-anak, selidik juga bagaimana ibu bapa menjaga, mendidik, membesar dan memberikan kasih sayang ketika anak-anak itu kecil hingga dewasa.


Mungkin hukum karma berlaku kerana mereka sendiri dulu pernah mengabaikan ibu bapa lalu anak-anaknya pula melakukan perkara yang sama kepada mereka.


Sebagai ibu bapa, kita perlu ingat bahawa anak-anak itu amanah Allah. Sebagai pemegang amanah, lakukan yang terbaik membesarkan mereka dengan memberikan nafkah, kasih sayang, pelajaran, didikan agama, akhlak dan sahsiah.


Salah didikan maka salahlah hasilnya nanti. Sebab itulah apabila anak-anak malas solat, gagal dalam pelajaran dan terbabit dengan kes juvana, ibu bapa perlu berpegang kepada prinsip akauntabiliti dan mengakui merekal bertanggung jawab.


Malangnya, ramai ibu bapa mencari salah orang lain termasuk guru-guru dan rakan-rakan. Memang betul, orang lain juga punya pengaruh atas watak dan tingkah laku anak-anak namun jika jati diri mereka kuat, tiada siapa pun yang boleh menyuruh anak-anak kita berkelakuan negatif. 


Untuk melakukan yang terbaik ibu bapa perlu banyak berkorban sama ada wang, masa, tenaga, fikiran dan perasaan. Ada ketikanya kita perlu keluarkan sedikit wang dan melabur bagi masa depan anak-anak. 


Pelaburan yang terbaik adalah pelaburan dalam mencari ilmu, meningkatkan kemahiran insani dan menambah ilmu serta kefahaman dalam beragama. Ada ibu bapa yang sayang duit bagi memasukkan anak-anak mereka ke program motivasi, seminar dan kem ibadah atas alasan mereka yang menganjurkan program-program sebegini bertujuan meraih keuntungan semata-mata. 


Cara berfikir begini membantut perkembangan ilmu anak anda. Ketika anak-anak orang lain mendapat pengalaman dan pendedahan, anak-anak mereka menghabiskan masa melakukan aktiviti yang kurang berfaedah. Ini memberi kesan pada anak apabila mereka dewasa nanti. 


Anak-anak adalah salah satu nikmat dan anugerah yang Allah. Ada pasangan yang lama berkahwin namun belum dikurniakan cahaya mata. Oleh itu, jika ada anak ini, bersyukur dengan anugerah Allah.


Dalam mensyukuri anugerah Allah, ibu bapa tidak boleh mengungkit apa yang diberikan, anggaplah sebagai memenuhi tuntutan kepada anak-anak. Jika kita lakukan yang terbaik untuk anak-anak, insyaallah kita akan mendapat yang hasil terbaik kelak. 


Allah s.w.t berfirman dalam Surah At-Taghabun, ayat 15, yang bermaksud: “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian bagimu, di sisi Allahlah pahala yang besar.” 


Ibu bapa perlu akur anak-anak adalah ujian Allah dan kita perlu hadapi dengan penuh kesabaran, hikmah dan bijaksana. 


Ada ketikanya ibu bapa perlukan bantuan pihak luar bagi mencorak pemikiran anak-anak secara positif. Ada waktunya kata-kata nasihat dari pihak ketiga lebih berkesan kerana pihak ini tidak mempunyai apa-apa agenda selain daripada menyampaikan apa yang perlu disampaikan secara profesional. 


Justeru, kehadiran pelbagai program dan seminar motivasi adalah rahmat buat anak-anak yang dahagakan ilmu.


Lain anak lain ragam dan lain juga potensi serta kehebatan. Sebab itulah anak-anak perlu tahu bagaimanakah cara bagi menggunakan potensi yang ada dalam diri mereka ini. 


Ada anak yang lebih menonjol dalam bidang-bidang yang lain seperti perniagaan, sukan, muzik, lakonan, pertukangan dan gubahan. 


Sayangnya, ramai ibu bapa tidak sedar bahawa kebolehan yang unik itu boleh dipupuk dan diasah menjadi sumber pendapatan apabila anak-anak membesar nanti. 


Malah, ramai yang bergelar jutawan sedangkan pelajaran mereka dulu tidaklah setinggi mana. Oleh itu ibu bapa mesti jujur dan bersifat terbuka dalam mendewasakan anak-anak. 


Bagi membantu ibu bapa mendidik, mengenal dan mengasah potensi anak-anak, sepanjang cuti sekolah ini MAP Training & Consultancy Sdn Bhd menganjurkan beberapa program Motivasi Alihan Pelajar di Kuala Lumpur, Ipoh, Melaka, Johor Bahru dan Singapura.


Program motivasi ini boleh disertai oleh anak-anak yang berusia daripada 10 hingga 19 tahun.


Layari laman web, www.laman-map.com atau hubungi talian 03-22734622, 03-22730622 atau 016-5580719 untuk maklumat lanjut.



Reference: Harian Metro